Pergerakan dan percakapan saya agak terbatas. Bukan keadaan sekeliling yang membataskannya tetapi diri saya sendiri. Saya takut untuk melepaskan dan mengeluarkan segalanya kerna itu memang itu sifat saya. Memetik prinsip hidup saya, "jangan sesekali melibatkan diri dalam perlumbaan dan pertandingan, jika anda takut untuk menerima kekalahan". Saya tidak segan mengutarakan prinsip saya di sini walau saya tahu, prinsip saya itu bersifat negatif.
Berbalik kepada topik asal, senario ini semakin membebani saya. Senario yang selalu dialami oleh individu akhir remaja / awal dewasa seperti saya. Saya cuba sibukkan diri dengan hobi dan kawan-kawan kerna saya tidak berapa suka menjadi individu tipikal. Tipulah jika 90% daripada anda yang membaca blog ini, berumur lebih kurang sebaya saya, tidak mengalami senario yang sama. Sekali lagi saya utarakan di sini, saya tidak mahu menjadi individu tipikal. Tidak mahu mempunyai rantaian hidup yang sama dengan orang lain. Sebab itu saya cuba untuk lari dari "itu".
Semakin hampir dengan topik asal, terus-terang saya katakan, saya belum bersedia menerima cinta baru selepas kehancuran perang dunia ketiga dalam dunia saya lebih kurang setahun lepas. Pada masa itu saya kira, lebih baik berhenti buat seketika kerana saya ingin luangkan masa saya dengan hobi dan kegemaran. Walau beratus manusia menasihati saya, "cari lain dan lupakan dia", jauh dilubuk hati saya, saya tak mahu. Saya takut untuk kecewa kerana kekecewaan sekarang semakin ganas seperti parasit yang memakan perumahnya sendiri.
Tapi saya tidak boleh menolak fitrah Allah SWT. Semakin saya lari, semakin ia laju mengejar jejak saya. Puas saya mengelak. Tapi saya hanya mampu merancang. Tuhan temukan saya dengan cinta hati saya, akhirnya. Tapi ini bukan cinta biasa, bukan cinta Siti Nurhaliza juga, kerna cinta Siti berbalas. Bukan saya katakan cinta saya ini tidak berbalas, tapi saya sendiri takut untuk menyertai pertandingan. Saya duduk menikus memerhatikan perlumbaan dari jauh.
Saya percaya, ramai di kalangan anda yang menghadapi situasi yang sama dengan saya. Sekadar memerhati tapi tidak bertindak. Mungkin saya ada lakukan pergerakan kecil supaya kehadiran saya dirasai dan diperhati. Tapi siapalah saya, saya bukan Jessica Alba.
Saya akur, cinta tak bermaksud memiliki dan dimiliki. Namun rasa yang terbit itu sudah cukup memberikan sedikit rempah-ratus dalam hidup saya. Terima kasih cinta.
Saya sedih kerna saya terlalu muda dan kerdil untuk menghadapi walau cabaran kecil di dunia ini. Sebab saya takut dengan kekalahan.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home